Thursday, March 31, 2011

Hari Terbuka SMKPB

Kerjasama dan penglibatan antara guru dan ibubapa amat penting dalam memastikan kecemerlangan serta fokus pelajar berada tepat pada landasannya. Justeru, hari terbuka yang diadakan saban tahun merupakan peluang terbesar untuk merapatkan hubungan para guru dan ibubapa. Pada hari Jumaat yang permai kali ini, para pelajar bersama ibubapa mahupun penjaga masing-masing telah terlibat dalam hari terbuka.

Seawal jam 8 pagi, kenderaan ibubapa mula membanjiri perkarangan luar sekolah. Ibubapa dan penjaga dengan diringi para pelajar menuju ke dewan sekolah di mana sesi pertemuan dan perbincangan berlangsung. Sudah menjadi kelaziman, riak ceria dan bangga jelas terpancar pada wajah para pelajar yang telah berjaya mendapat keputusan yang cemerlang sebaliknya bagi pelajar yang kurang bernasib baik dalam peperiksaan diselubungi kesuraman dan perasaan berat hati untuk berjumpa para guru.


Para guru menjalankan tanggungjawab dengan efisien dan secara ikhlas memberikan dorongan, galakan serta teguran membina kepada para pelajar bagi menaikkan motivasi mereka sementelah masing-masing bakal menduduki peperiksaan awam yang dianggap besar dalam sistem persekolahan menengah di Malaysia iaitu PMR dan SPM. Ibubapa juga dilihat profesional dan terbuka dalam setiap perbincangan kerana mereka sedar dan percaya segala laporan guru berlandaskan fakta dan atas satu matlamat iaitu memperbaiki atau setidak-tidaknya mempertahankan tahap akademik dan kualiti anak masing-masing.


Peratusan ibubapa yang hadir juga meningkat dan ini merupakan petanda baik bagi keseluruhan warga SMKPB. Pihak pentadbiran juga mengambil langkah bijak dengan memberi peringatan serta menahan rekod keputusan peperiksaan para pelajar yang tidak hadir bersama ibubapa. Akhirnya, pada jam 12 tengahari guru-guru mula meninggalkan dewan.


Program yang antara lain bermatlamat untuk memaklumkan kekuatan dan kelemahan pelajar kepada ibu bapa serta bersama-sama bertindak progresif untuk memajukan potensi diri pelajar bagi mencapai tahap cemerlang serta menyediakan diri pelajar yang berpotensi untuk lulus cemerlang ke arah persediaan lebih kompetitif ini tidak akan terhenti di sini sahaja. Pelbagai program kerjasama PIBG sedang giat dirancang bagi memastikan mutu pelajar yang lahir dari SMKPB tidak akan dipandang sebelah mata oleh masyarakat setempat khasnya dan masyarakat global amnya.

No comments:

Post a Comment